Music Player

Friday, February 17, 2017

Discography Sarena Hashim


Sarena Hashim, anak jati kelahiran Pulau Pinang ini merupakan salah seorang penyanyi pujaan ramai dan juga pelakon sekitar era 1970an yang sering mendendangkan lagu-lagu malar segar di radio Malaysia (RTM) dan juga Singapura (SBC).

Sarena Hashim memulakan kariernya sebagai penyanyi piring hitam pada tahun 1969 lagi. Rakaman Singles pertamanya diiringi Kugiran yang sangat popular pada era tersebut, iaitu The Quests. 'Panggillah Daku' ciptaan Akbar Nawab adalah diantara lagu dalam Singles tersebut. Sarena terus mengecapi zaman popularitinya di era 70an. Sarena mempunyai paras rupa yang cantik dan beliau berada pada kelasnya yang tersendiri (as a beauty singer).


Sarena pernah menghiasi kaca TV Malaysia dengan rancangan hiburan malam minggunya sendiri, iaitu 'SARENA'. Rancangan itu diterbitkan oleh Helen Abu untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada era 70an dahulu. Dalam rancangan tersebut beliau berduet dengan penyanyi-penyanyi undangannya seperti Saloma, Salamiah Hassan, Helen Velu dan lain-lain artis.

Sarena mungkin satu-satunya penyanyi di zaman itu yang tidak menggunakan teknik vibrato dalam vokalnya. Gaya nyanyiannya simple dan manja. Namun begitu, gaya tersebut membuatkan Sarena begitu istimewa sekali, sesuai dengan lagu-lagu rakamannya.


Sarena juga mempunyai bakat menulis senikata lagu dan banyak menyumbang lirik-lirik lagu untuk rakamannya sendiri mahupun penyanyi lain. Diantara lagu-lagu yang popular pada zaman kegemilangannya adalah 'Bersama' (saduran dari lagu hindi 1965 - Ye Sama Sama Hai Ye Pyaar Ka), 'Dua Kali Dua', 'Malam Ini', 'Kenangan Manis' dan 'Bayangan Menjelma'.

Bagaimanapun, di tengah-tengah popularitinya sedang meningkat naik, beliau telah menimbulkan kejutan kepada para peminatnya apabila memilih untuk melangsungkan perkahwinan, dengan berkahwin buat kali yang kedua dengan anak pengarah terkenal Datuk L. Krishnan. Dalam masa yang sama jugak, penyanyi itu memutuskan untuk bersara dari lapangan seni hiburan.


Selepas mengumumkan persaraan dari bidang nyanyian sekitar tahun 1978, penyanyi Sarena Hashim terus kekal dengan keputusannya itu sehinggalah sekarang. Sarena banyak menghabiskan masa dalam perniagaan dan juga menguruskan rumah tangganya.

Malah L. Krishnan juga mengakui menantunya itu tidak mahu mendedahkan diri kepada publisiti setelah nekad meninggalkan bidang nyanyian dan lakonan. Walaupun pada awalnya pengunduran Sarena kerana permintaan suami, penyanyi itu senang dengan keputusannya itu. Apatah lagi dia tidak pernah menaruh harapan untuk terus bergiat sebagai penyanyi dalam jangka masa yang lama.


Pada temuramah dengan pihak media ketika Sarena masih aktif menyanyi suatu ketika dahulu, penyanyi itu pernah mengatakan yang dia meletakkan nyanyian sebagai hobi semata-mata. Lantaran itu dia tidaklah seghairah seperti kebanyakkan penyanyi-penyanyi lain, yang mengejar wang hasil dari sumber menyanyi sahaja.

Sarena juga tidak gemar untuk menerima undangan mengadakan persembahan pentas, apatah lagi untuk tampil menyanyi di kelab-kelab hiburan. Bahkan Sarena juga pernah mengatakan bahawa bidang nyanyian dan lakonan di Malaysia tidak boleh membawa kekayaan, apatah lagi dengan hanya bergantung kepada bidang itu semata-mata.


Semasa giat menyanyi pada awal dan pertengahan tahun 70an dahulu, Sarena pernah terjebak dalam bidang perniagaan dengan membuka sebuah kedai menjual barangan cenderamata dan lain-lain lagi. Malah pengunduran beliau dari bidang nyanyian dan lakonan juga tidak pernah pun melenyapkan minatnya dalam kerja-kerja yang melibatkan seni.

Dia bersama suaminya bekerja dengan syarikat Gaya Filem milik bapa mertuanya (L. Krishnan). Sarena juga menggunakan bakat nyanyiannya bagi menghasilkan sebuah album khas untuk organisasi PEMADAM (Agensi Anti Dadah Malaysia) pada tahun 1981, menerusi syarikat Gaya Music Studio.


Barangkali banyak yang tidak tahu nama Sarena sebenarnya boleh dibariskan sebagai penerbit album wanita terawal kerana penglibatannya sebagai penerbit album. Selain berkeupayaan menyanyi, Sarena juga amat berbakat dalam mencipta lagu dan juga penulisan lirik. Malah banyak lirik-lirik lagu nyanyiannya dihasilkan sendiri.

Baginya seseorang penyanyi harus tahu menulis lagu dan juga lirik agar tidak ketinggalan dengan penyanyi lain. Tambahan pula lagu-lagu yang dirakamkannya sejak dari album pertama lagi, iaitu pada tahun 1970 turut memuatkan lagu-lagu saduran dari lagu popular Hindi dan juga lagu Inggeris. Pada masa itu ramai penyanyi tempatan lebih cenderung untuk menyanyikan lagu-lagu saduran (sebagai contoh seperti Sanisah Huri, Sharifah Aini & juga DJ Dave).


Mengenai latar belakangnya Sarena yang kini berusia lewat 60an berasal dari Seberang Prai, Pulau Pinang dan mempunyai darah kacukan India dan Arab. Beliau dibesarkan di Tanjung Bunga dan menghabiskan persekolahan peringkat menengah di St. Georges Girls School. Sarena juga mempunyai kelulusan dalam jurusan kesetiausahaan dan pernah menjawat jawatan pembantu peribadi di sebuah syarikat perumahan sebelum menceburkan diri dalam bidang nyanyian.

Mengenai kegiatan seninya, dia mula menunjukkan minat semasa di bangku sekolah lagi. Namun bakatnya tidak disokong oleh keluarga yang mahukan supaya dia memberikan sepenuh tumpuan kepada pelajaran sahaja. Dengan usaha sendiri, Sarena pernah memasuki pertandingan Bintang Radio pada tahun 1966, namun tidak berjaya menyerlah dan gagal di peringkat negeri Pulau Pinang (sekadar memenangi tempat ke-2 sahaja).


Dia tidak patah semangat dari kegagalan itu, sebaliknya terus berusaha sehingga mendapat peluang merakamkan lagu ke piring hitam. Singles pertamanya dikeluarkan pada tahun 1969 memuatkan dua buah lagu iaitu Mimpiku dan Panggillah Daku. Manakala EP pertamanya pula dikeluarkan pada tahun 1970 memuatkan empat buah lagu iaitu, 2 lagu diambil dari Singles nya yang terdahulu, dan 2 lagu tambahan adalah lagu baru (Kau Di Mana & Hanya Bintang-Bintang).

Lagu Panggillah Daku berjaya mengangkatnya sebagai penyanyi yang diminati ramai. Suaranya yang lembut dan manja menjadikan lagu-lagunya satu kelainan. Selepas itu, sebuah demi sebuah EP dan LP dihasilkannya secara berterusan. Antara lagu yang mendapat tempat ialah Ku Ingin mu Jua, Dua Kali Dua, Setiap Masa, Menanti Malam Tiba, Kanda & Dinda (duet bersama DJ Dave), Bersama, & banyak lagi.


Antara pengalaman manis yang pernah dikecapinya sepanjang bergelar artis ialah, berpeluang ke India atas undangan EMI India, di mana dia diberi kesempatan bertemu banyak pelakon dan penyanyi popular negara itu. Dia juga berpeluang melihat penggambaran filem Hindi semasa berada di sana.

Pengalaman bersama pelakon Hindi membuatkan dia sedar kekuatan yang ada pada pelakon negara itu. Mereka (pelakon-pelakon Hindi) tidak kerap mendedahkan diri kepada masyarakat. Dan apabila sesekali mengadakan sessi bertemu peminat membuatkan peminat begitu ghairah mengerumuni mereka. Ia berlainan dengan fenomena di negara ini.

 

Selain menyanyi, Sarena juga turut melibatkan diri dalam bidang lakonan. Dia pernah muncul dalam program Potret Pekerti di Televisyen Malaysia RTM pada suatu masa dahulu. Sarena juga pernah menjadi pilihan pengarah Jins Shamsuddin untuk membintangi filem Menanti Hari Esok dengan melakonkan satu watak jahat (antagonis).

Filem - Menanti Hari Esok (1977)


Sepanjang penglibatan beliau sebagai penyanyi, Sarena telah berjaya menghasilkan sebanyak 4 buah Album LP & juga 10 buah Album EP keseluruhannya. Kini Sarena banyak menghabiskan masa tuanya bersama dengan suami tercinta dan juga seorang anak tunggal beliau. Sama-samalah kita berdoa agar Sarena Hashim senantiasa diberikan kesihatan, umur yang panjang, dimurahkan rezeki dan juga iman yang berkekalan hendaknya.

Amin.

Dan sebagai penutup cerita, mari kita kongsikan bersama album-album discography dari Sarena Hashim.

Jom layan .......



Single

Sarena (1969)













LP

Ku Datang Lagi (1971)


















Sejak Kau Pergi (1974)













Dua Kali Dua (1976)


















Kenalan Pertama (1977)













EP

Harapan Bersama (1970)













Ku Ingin Mu Jua (1970)













Aku Rela Kembali (1971)













Persembahan Ku (1971)













Bersama Menunggu (1972)













Bila Bermula (1973)













Jumpa Sekejap (1973)













Jauh di Mata (1974)













Setiap Masa (1975)












(info cover - credit to sarenafanclub, akubudakpenang, ubupopland, popok)

9 comments:

  1. Mouse aku rosak scrool blog ko. Huhuhuhuhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. rosakkkk ????
      haha.. ala kesiannya, tapi takpe bro, kau pergi kedai komputer, kat situ banyak ada mouse-mouse baru yang harganya berpatutan.. kalau ko ada duit banyak, sambar le yang mahal.. atau kalau ko nak budget, pergi Maidin jer.. RM10.90 ada jual kat situ...
      takpun kalau nak lagi jimat, kau suruh laa kucing kau, pergi tangkap mouse-mouse yang berkeliaran kat sekitar flat perumahan tu.. pas tu jemur, keringkan, dan samak sedikit, taruh minyak wangi.. and then boleh laa cucuh kat PC atau Laptop kau... hahahahahaha

      jangan marah bro... gurau di waktu petang isnin ni.. heheh

      Delete
  2. klasik betul lagunya haha... aku nye leptop pun berat nak skroll... guna theme biasa2 je bro.

    ReplyDelete
    Replies
    1. berat yer... tapi aku punya PC ok jer... yang kat rumah pun ok.. dan yang kat opis pun lagi ok... takde masaalah jer..
      mungkin korang patut format balik leptop masing2 kot (especially kpd bro D'arsil & bro Shafid)
      .. Laptop korang ada problem kot..?

      Delete
    2. mungkin juga leptopaku ni sudah tua haha..

      Delete
    3. yer betul tu bro.. hehe !! nasihat saya pada anda, sila upgrade kan laptop anda kepada windows 10.. the latest one

      Delete
  3. terima kasih atas info yang diberikan.
    mendengar lagu lagi beliau mengingatkan peristiwa manis tahun 70an dulu

    ReplyDelete
    Replies
    1. peristiwa apa tu bro..? boleh kongsi-kongsi citer sikit ker.. hihihihih

      Delete
  4. salam. nak tanya. sarena ada buat lagu alih bahasa When Will I See You Again ? apa tajuk lagu melayu nya ? terima kasih

    ReplyDelete