Music Player

Saturday, October 22, 2016

Discography Uji Rashid


Uji Rashid (dilahirkan sebagai Fuziah binti Haroun Al Rashid) merupakan seorang penyanyi dan pelakon wanita Malaysia yang terkenal.

Pembabitan beliau dalam bidang seni bermula pada zaman persekolahannya lagi, iaitu pada awal tahun 60an. Ketika itu beliau sedang menuntut dalam bidang tarian ballet, di sekolah Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam.

Apabila beliau berhijrah ke Kuala lumpur, beliau aktif pula dalam lapangan sukan, seni lukis, debat dan juga seni tari. Akhirnya atas desakan dari rakan-rakan sekelas, beliau telah menyertai aktiviti tarian untuk pementasan akhir tahun di sekolahnya. Biarpun sekadar suka-suka, beliau tidak mahu ketinggalan bagi memeriahkan pertandingan tarian tersebut dan pada masa yang sama juga, beliau mula berjinak-jinak dengan acara pementasan teater.


Boleh dikatakan apa jua cabang seni yang disertainya, sama ada seni tarian dan juga seni lakonan, telah membuatkannya beliau lebih berazam dan bersemangat untuk mencuba nasib di dalam pertandingan nyanyian yang telah berlangsung di Panggung Anniversary Kuala Lumpur, sehingga beliau berjaya meraih tempat ketiga.

Bertolak dari pengalaman tersebut, lalu beliau bersama rakan baiknya Fauziah Nawi (pelakon), telah cuba memberanikan diri bagi menyertai Pertandingan Bintang RTM, tetapi tidak mencapai sebarang kejayaan pada masa itu, kerana nasib tidak menyebelahi mereka.

Biarpun tidak berjaya, tetapi bakat istimewanya itu telah dikesan oleh Datuk Ahmad Nawab (penerbit album) dan berikutan dengan galakkan yang diterima dari penggubah lagu terbabit, beliau telah sempat merakamkan 4 buah lagu di sebuah studio Singapura, tetapi malangnya kesemua lagu berkenaan gagal diterbitkan kerana masalah Hakcipta.


Nasibnya berubah sesudah itu sebaik sahaja beliau bertemu dengan Jamil Sulong (sutradara) yang secara kebetulan telah mengajaknya untuk membintangi sebuah filem terbaru yang berjudul 'Permintaan Terakhir' (1975), bersama-sama dengan pelakon Nozie Nani, Datuk Sani Abdullah dan juga Dato' Yusof Haslam.

Tuahnya dilihat cukup menyerlah di layar perak, apabila filem pertamanya itu mendapat sambutan begitu hangat di pawagam dan namanya semakin menjadi sebutan ramai. Selepas itu barulah lagunya yang pernah dirakamkan sedikit masa dahulu diedarkan, sekali gus meledakkan lagi popularitinya sebagai bintang baru.

Sama ada lakonan mahu pun nyanyian, kedua-dua bidang ini cukup sinonim dengannya. Beliau dianggap sebagai bintang idola popular, yang menjadi ikutan ramai ketika itu. Sebut apa saja tentang Uji Rashid, dari fesyen pakaiannya, stail rambutnya, hinggalah kepada gaya hidupnya, maka kebanyakkan peminat pasti mengetahuinya.


Malahan, ada sejenis spesis ikan pun turut diberi gelaran sebagai 'Ikan Uji Rashid' dek kerana mata ikan tu yang besar. Hingga kini, tidak ada seorang artis pun yang pernah diberi gelaran sebegitu rupa.

Juga kerana kepopularitiannya itu telah menular, sampaikan ada seorang peminat di Melaka, telah menggelarkan duit syilling 50 sen, dengan panggilan 'Duit Uji Rashid'.

Tidak cukup dengan itu, ada seorang pengusaha kain batik pun turut juga mengambil kesempatan, untuk mencipta sejenis corak kain batik yang diberi nama 'Kain Uji Rashid'. Rasanya Uji Rashid sendiri pun tidak pernah meraih sebarang keuntungan mahupun royalti dari hasil usaha ini semua, melainkan rasa terharunya kepada para peminat yang begitu menghargainya.

Kebanyakkan dari filem-filem lakonan Uji Rashid sememangnya cukup meninggalkan kesan, seperti filem Permintaan Terakhir, Jiwa Remaja, Menanti Hari Esok, Langit Tidak Selalu Cerah, Dendang Perantau dan banyak lagi.

Berikut disenaraikan antara filem-filem hebat lakonan Uji Rashid :-

1975 Permintaan Terakhir (pelakon utama)


1975 Jiwa Remaja (pelakon utama)


1977 Menanti Hari Esok (penampilan istimewa)


1979 Dendang Perantau (pelakon utama)


1981 Langit Tidak Selalu Cerah (pelakon utama)


1986 Yassin (pelakon utama)


2001 Mistik (pelakon pembantu)


2009 Lembing Awang Pulang Ke Dayang (pembantu)


2012 Misteri Balan Balan (pelakon pembantu)


Semasa syarikat rakaman EMI mula serius dalam kancah industri muzik di Malaysia pada sekitar tahun 1975 dahulu, Uji Rashid merupakan salah seorang artis pertama yang telah merakamkan album penuh (LP). 4 album terawal Uji Rashid juga berjaya terjual sehingga melebihi 30,000 unit. Ini menjadikan Uji Rashid sebagai salah seorang artis yang paling laris dan cukup terkenal di waktu itu.

Antara album-album popular yang pernah dihasilkan oleh ibu kepada pelakon Cico Harahap ini, adalah seperti 'Semakin Hari Semakin Sayang', 'Ku Kekosongan', 'Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu' dan beberapa album lagi.

Perkahwinannya juga telah mendapat liputan secara besar-besaran dari majalah hiburan terkenal tanahair dan juga media cetak. Beliau turut mendapat gelaran sebagai penyanyi “SuperStar”. Hanya tiga orang artis wanita terkemuka sahaja yang pernah meraih gelaran tersebut di Malaysia, iaitu Dato' Sharifah Aini, Anita Sarawak dan juga Uji Rashid.


Bila ditanya pada Uji Rashid dalam satu wawancara eksklusif, tentang siapakah bintang idolanya selama ini, jawab beliau adalah Seniwati Saloma.

Dan satu-satunya pesanan arwah Saloma yang hingga kini masih kekal dalam ingatan Uji Rashid ialah mencari identiti sendiri apabila ingin bergelar penyanyi. Pesan arwah Saloma pada beliau, "Hanya dengan mempunyai gaya serta cara tersendiri, seseorang penyanyi akan lebih mudah dikenali dan dihormati. Kalau meniru stail orang lain, peminat akan teringat pada penyanyi asal. Jadi bakat kita akan tenggelam''.

Uji Rashid mula mengenali arwah Saloma ketika usianya belasan tahun dan masih di bangku sekolah iaitu sekitar penghujung tahun 1960an. Ketika itu Uji mula berjinak-jinak sebagai penari dan membuat persembahan di Shah's Motel (Petaling Jaya), semasa arwah Saloma menyanyi di situ. Malah apabila Uji menjadi penari Kumpulan Budaya Negara (kini Akademi Seni Negara), arwah pasti dijemput sebagai penyanyi undangan. Pada waktu itu, Hail Amir juga turut serta dalam kumpulan tarian itu.


Uji Rashid adalah antara penyanyi yang sering diundang Saloma untuk sama-sama menyerikan persembahannya. Apabila Uji mula menyanyi, Saloma banyak memberi perangsang malah turut merekomenkan bakat penyanyi muda itu kepada labels EMI. Padahal Uji Rashid tidak begitu meminati bidang nyanyian. Sebelum lagu 'Mengapa Dirindu' dinyanyikan semula, Uji Rashid meminta keizinan dari penyanyi asalnya (Saloma) terlebih dahulu.

Saloma memberi keizinan tetapi dengan bersyarat, iaitu Uji perlu membawanya dengan gaya tersendiri dan tidak merosakkan lagu itu. Apabila album itu siap dirakamkan, Uji Rashid memberinya sekeping salinan. Saloma memuji kerana lagu tersebut dibawa dengan gaya tersendiri Uji Rashid.

Uji turut merakamkan semula lagu popular Allahyarham seperti 'Jikalau Abang Merindu', 'Aku & Dia' dan 'Bintang Malam'.


Uji juga banyak berkongsi suka duka dengan Saloma. Malah dia terkilan dengan sikap sesetengah promoter pertunjukan pentas ketika itu, yang tidak menghormati arwah sebagai penyanyi veteran.

"Kami pernah dibayar dengan duit note seringgit. Bayangkanlah, betapa tebalnya wang yang kami terima. Dah jadi satu kerja pula untuk kami mengiranya. Simpati melihat keadaan arwah yang ketika itu sudah lemah (akibat demam). Hail Amir menyuruh Saloma supaya banyak berehat, dan selepas habis mengira jumlahnya, Hail menyerahkan wang tersebut kepada Saloma'', luah Uji Rashid.

"Kami juga pernah ditipu promoter. Satu sen pun bayaran tidak kami terima ketika mengadakan persembahan di Sabah. Arwah sempat berpesan, jika saya ke situ lagi, tolonglah minta wang yang dijanjikan itu. Hingga dia menutup mata, wang itu kami tidak pernah dapat sehingga kini'', sambung Uji Rashid lagi dengan nada sebak.

Begitulah kisah pengalaman berharga Uji Rashid bersama dengan biduanita Saloma yang digelar 'Mama'. Dan sebagai tanda menghormati persahabatan antara mereka berdua, maka Uji Rashid telah merakamkan sebuah lagu tribute khas untuk Saloma, iaitu lagu yang berjudul 'Ditinggal Mama'. Dan lagu ini dipetik dari album ke-2 Uji Rashid (Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu - terbitan tahun 1977).


Di sepanjang karier seninya, Uji Rashid telah merakamkan puluhan piring hitam (EP), cartridge dan juga album penuh (LP), ini termasuklah dengan penghasilan album-album duetnya bersama Hail Amir dan artis-artis lain.

Lagu-lagu nyanyian beliau sering berkumandang di radio Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei. Antara lagu-lagu popular beliau ialah seperti 'Semakin Hari Semakin Sayang', 'Seloka Hari Raya', 'Rintihan Rasa' dan lain-lain lagi.


Uji Rashid juga pernah menyanyi berduet dengan pasangan pertamanya di atas pentas, iaitu Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Sementara Allahyarham Latiff Ibrahim pula, adalah merupakan pasangan duet pertamanya di dalam rakaman album (Dendang Perantau - Soundtrack 1979).

Manakala dua lagi pasangan duetnya iaitu Dato' DJ Dave dan Hail Amir, yang selalu menjadi pilihan para penerbit dan sering dilabel sebagai “couple serasi dan paling memikat”. Gelaran ini telah diberikan oleh komposer muzik tersohor, Datuk Ahmad Nawab.


Di zaman kegemilangan Uji Rashid, namanya sering dikaitkan dengan Hail Amir dan juga DJ Dave. Ramai para peminat cuba mengaitkan mereka bertiga sebagai pasangan kekasih (Cinta 3 Segi). Begitu banyak spekulasi yang timbul, sehinggakan sampai ada yang berani mengatakan, Hail Amir dan DJ Dave saling cuba memikat hati Uji Rashid. Namun sehingga sekarang, berita itu tidak benar sama sekali, kerana masing-masing telah memilih pasangan hidup mereka sendiri.

Walaupun kehebatan Uji Rashid sering dibandingkan dengan Sharifah Aini, malah kelebihan sudah tentunya lebih berpihak kepada Sharifah Aini. Namun Uji Rashid telah berada pada kelasnya yang tersendiri, bersama dengan para peminatnya yang tetap setia menyokong beliau.


Rakaman EP pertama yang dihasilkan oleh Uji Rashid adalah, merupakan sebuah album EP yang turut menggunakan tajuk 'Uji Rashid' sebagai judulnya. Album ini diterbitkan pada tahun 1975 di bawah syarikat rakaman EMI (Malaysia) Sdn. Bhd. Secara keseluruhannya terdapat 4 lagu di dalam album ini yang kemudiannya telah dijadikan lagu pelengkap kepada album studio pertamanya kelak.

Manakala 'Semakin Hari Semakin Sayang' merupakan album EP ke-2 yang dihasilkan oleh Uji Rashid. Album ini dihasilkan pada tahun 1976 di bawah syarikat rakaman yang sama, EMI (Malaysia) Sdn. Bhd. Masih lagi mengekalkan 4 lagu di dalam album ini yang akhirnya turut dijadikan lagu pelengkap kepada album studio pertamanya.


Sementara itu, 'Ku Kekosongan' merupakan album studio pertama yang dihasilkan oleh Uji Rashid. Album ini dilancarkan pada tahun 1976 di bawah syarikat rakaman EMI (Malaysia) Sdn. Bhd.
Lagu-lagu di dalam album ini diambil dari dua EP pertama beliau iaitu Uji Rashid (1975) dan Semakin Hari Semakin Sayang (1976) bersama dengan tambahan 4 lagu baru.

'Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu' pula adalah merupakan album studio ke-2 yang disampaikan oleh Uji Rashid. Album ini dikeluarkan pada tahun 1977, juga di bawah naungan syarikat rakaman EMI (Malaysia) Sdn. Bhd. Dato' Ahmad Nawab sekali lagi telah bertindak sebagai penerbit dan komposer, bagi kebanyakan lagu yang dimuatkan di dalam album ini. Dan pada tahun 2011, album ini pernah dikeluarkan semula (reissue) di dalam bentuk cakera padat (CD) berupa 'Set Kotak Mini' bersama-sama dengan kombinasi album 'Ku Kekosongan'. Single utamanya iaitu 'Namamu Terukir di Hatiku' yang dimuatkan dalam album ini, pernah menjadi juara carta selama 13 minggu berturut-turut di carta 'Lagu-Lagu Popular Radio Singapura'.


Begitulah hebatnya aura yang dimiliki oleh biduanita Uji Rashid ini. Dan kini walaupun beliau sudah tidak lagi seaktif seperti di zaman-zaman kegemilangan beliau dahulu, tetapi lagu-lagu malar segar dendangan Uji Rashid ini, masih boleh kita dengari melalui siaran di radio tempatan. Ditambah pula dengan Channel Astro, yang acapkali menayangkan filem-filem terbaik lakonan Uji Rashid di dalam rangkaian televisyen. Maka tidak hairanlah, yang pengaruh besar dari artis ini sedikit sebanyak telah merancakkan industri muzik dan seni tanahair kita.

Akhir kata, sekalung tahniah buat biduanita Uji Rashid.

Sekian.

Sekarang mari kita layan diskografi beliau..



Uji Rashid (1975) - EP










Semakin Hari Semakin Sayang (1976) - EP










Ku Kekosongan (1976)













Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu (1977)













Mengapa Derita Yang Di Cari (1980)













Mengapa Berjauhan (1981)













Merpati (1983)













Bisikan Hati (1988)










Bukan Terpaksa (1999)










Seindah Rindu (2014)










Antara Matamu dan Mataku (1976) (bersama Hail Amir)













Menanti Hari Esok _ Soundtrack (1977)













Hujan (1977) (bersama Hail Amir)













Ku Kejar Bayangan Mu (1980) (bersama Hail Amir)










Melayu Klasik (1995) (bersama Hail Amir)








(info cover : credit to pckokak, akubudakpenang, mat4nira, mudah)

15 comments:

  1. Ikan uji rashid?..haha lama dah tak dengar orang panggil ni...budak2 sekarang mesti tak pernah dengar...

    Btw..orang tua aku suka la kak uji ni..siap beli katrij dia dulu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ikan tu spesis ikan lolong namanya..
      BTW.. Mak dan abah aku pun sama Bert.. Kalau Ada je show uji Rashid kat depan TV tu, pasti diorang takkan miss punya..
      Sampai aku nak tukar channel lain pun, dah tak boleh daa.. Hihi

      Delete
  2. aku ingatkan kat kampung aku saja orang panggil ikan uji rashid ni..kat lain tmpt pun sama jugak ada nooo...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Satu Malaysia dah terkenal ikan uji Rashid ni bro.. Gelaran lain ikan ni, iaitu ikan mata besar..
      BTW.. Aku suka sangat tengok filem lakonan uji Rashid, yg berjudul Langit Tidak Selalu Cerah..
      Lawa kak uji masa tu, terutama time babak nyanyi lagu Ulek Mayang tu, fuhh sedap suara beliau.. Kalah penyanyi zaman sekarang nie.

      Delete
  3. Standing ovation. Terbaik nye post.
    aku suka uji rashid ni semua la lagu or ehat.
    tapi aku tak berkenan tengok si cico tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thank you so much buat Deaf, atas standing ovation tu.. Huhuh
      Btw.. Uji Rashid ni memang punyai suara yang lemak merdu, tapi sayang sejak akhir2 ni, beliau dah semacam tak boleh nak menyanyi lagi dah.. Suara ke laut, pitching berterabur.. Kesian kan, mungkin faktor usia..
      So.. What's wrong with Cico Harahap tu Deaf? Hih hih

      Delete
  4. saya masih simpan lagi piring hitam 12" uji dan hail - antara matamu dan mataku. semua lagu power, takda yang membosankan. serius, itulah antara harta paling berharga buat saya. haha.

    la...tak tau pulak dia pernah belajar di brunei dahulu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. wahh..!! piring hitam 12" tu kalau dijual mahu mencecah RM1000 harganya tuh.. artis rare lagi (Uji & Hail).. huhuh
      simpan saje vinyl tu bro, boleh bikin harta pusaka kelak.. kihkih

      btw.. memang benar tu adi, dulu masa zaman remaja lagi uji rashid pernah dibesarkan dekat negara brunei (ala dekat jer dgn negeri sarawak tempat kamu tuh.. haahahh)

      Delete
    2. album2 terbitan Ahmad Nawab memang power2 bro! hehehe!

      Delete
    3. tepat sekali pendapat anda tu bro pc kokak.. ahmad nawab memang seorang komposer yang ada magis, utk lagu-lagu rentak malar segar ni.. begitu jugak dgn komposer m.nasir, magis beliau utk lagu2 rentak rock ballads..

      Delete
  5. Semua lagu lagu nyanyian uji terbaik

    ReplyDelete
    Replies
    1. selamat datang kepada encik ramli ahmad ke blog yusrina - retro 'n' rock

      Uji Rashid memang sedap lagu-lagunya..

      btw.. sudi-sudikanlah diri tuan, utk join followers kat blog yusrina ni yer

      Delete
  6. Replies
    1. InsyaAllah, bakal diterbitkan kemudian nanti, tunggu saat dan masa yang sesuai aje.. diharap tuan dapat bersabar ye

      Delete
  7. suara yg sedap di dengar dulu dan skrg,Kak Uji...kalau artis skrg,dgr sebln dah hilang..mmg x da seni...Suara Kak Uji lunak,lemah gemalai..sesuai bawa lagu apa pun..

    ReplyDelete