Music Player

Friday, December 16, 2016

Discography Black Dog Bone


Kumpulan Black Dog Bone merupakan sebuah kumpulan pemuzik dan penyanyi yang aktif di Singapura. Mula ditubuhkan pada tahun 1973 & kumpulan ini banyak mengiringi persembahan artis-artis berbangsa Cina dari Negara Singapura, Malaysia, Hong Kong dan juga Taiwan.

Line-Up Black Dog Bone adalah seperti berikut :-

Izzar bin Masrom @ Razzi M - Ketua Band, Gitar & Vokal
Tahir bin Ali @ Jatt - Vokal Utama & Drum
Masron bin Ali - Trumpet, Horn, Trombone & Vokal
Hamid bin Ahmad - Bass & Vokal
James Chai - Tenor, Flute & Seksofon
Michael Heng - Keyboard


Kumpulan Black Dog Bone menjadi terkenal oleh masyarakat Melayu setelah mereka menghasilkan album pada tahun 1976. Lagu-lagu yang menjadi hits di ketika itu ialah seperti lagu, Bila Rindu, Rileks, Joget Hati Jujur & Jangan Lukakan Hatiku, sehingga dapat memikat hati pendengar dan menarik para peminat hingga ke serata Asia seperti di Singapura, Brunei, Malaysia, Taiwan malah sehingga menjangkau ke Negara Belanda.

Kumpulan Black Dog Bone pernah dibubarkan untuk seketika pada tahun 1981 setelah sempat menghasilkan 7 buah album sebelum ini bersama dengan Syarikat Rakaman EMI. Tetapi mereka kembali semula bergabung dalam tahun 1986 dan di tahun yang sama juga, kumpulan ini telah merakamkan album ke-8 yang bertajuk 'Kembali Lagi' terbitan Life Records.


Sesudah itu kumpulan Black Dog Bone ini seakan mati dan terus menyepi selama lebih kurang 15 tahun. Dan kesemua ahlinya telah membawa haluan diri masing-masing, seakan-akan mereka sudah pun berpecah secara tidak rasminya.

Jatt (vokalis) misalnya, telah merakamkan beberapa album solo beliau di tahun-tahun berkenaan. Dan album solo dari Jatt ini juga, turut mendapat sambutan yang menggalakkan dari para peminat beliau yang masih dahagakan irama dari muzik kumpulan Black Dog Bone ini. Antara lagu-lagu Jatt yang begitu popular sedikit masa dahulu adalah seperti lagu, 'Merpati Putih', 'Sisa-sisa Cinta' & 'Kawan Atau Kekasih'.


Sehinggalah bila tiba ke tahun 2002, apabila kumpulan Black Dog Bone ini kembali sekali lagi ke kancah persada seni tanahair. Mereka melakukan reunion pada tahun berkenaan, dan turut melahirkan sebuah lagi album baru di bawah Labels Syarikat Rakaman Suria Records. Album ke-9 Black Dog Bone ini berjudul 'Reunion'.

Dan dalam tahun 2005 kemudiannya, kumpulan Black Dog Bone telah menerbitkan album studio terakhir mereka yang diberi tajuk 'Andai'. Menariknya mengenai album ini kerana ada sebuah lagu duet yang bertajuk 'Janji Kita', hasil kolaborasi antara Jatt (vokalis BDB) & Saidatul Erma. Memang best lagu ini, 5 bintang Yusrina bagi 'rating' untuk kedua-dua penyanyi berkenaan. 🔯 🔯 🔯 🔯 🔯


Selepas dilanda krisis perpecahan yang silih berganti sejak 27 tahun lepas, ahli Black Dog Bone masih lagi setia bersatu dan sering bertemu. Itu memang tidak dapat dinafikan. Walaupun rata-rata ahli kumpulan yang berasal dari Singapura itu sudahpun menginjak ke usia 60 tahun dan membuat haluan masing-masing, namun mereka tetap bertemu apabila ada kelapangan.

Black Dog Bone disuatu ketika dahulu pernah dibarisi oleh Jatt, Razzi M, Masron Ali, Hamid Ahmad, James Chai & juga Michael Heng. Hubungan akrab mereka masih jelas terpancar. Pembubaran Black Dog Bone bukan jadi penghalang kepada mereka untuk memutuskan perhubungan yang terjalin.


Menurut vokalis dan pemain drum Black Dog Bone, Jatt, ahli kumpulan ini mengamalkan sikap saling menghormati sesama sendiri. Itu tonggak utama yang menyebabkan mereka masih mampu duduk semeja, berborak seperti biasa walaupun Black Dog Bone sudah berpecah.

"Tipulah kalau ada ahli dalam satu-satu kumpulan tidak pernah berselisih pendapat dan bermasam muka. Sedangkan lidah lagi tergigit, sama sahaja perumpamaan untuk perkahwinan".
"Kami pernah bergaduh hingga sampai hendak bertumbuk sesama ahli kumpulan sendiri, namun nasib baik semuanya dapat diselesaikan dalam jangka masa singkat".

"Kalau ada perasaan marah atau tidak puas hati sekalipun, kami tetap berbincang baik-baik. Ini kerana kami mahu mengelakkan sebarang perasaan tidak selesa di antara satu sama lain".
"Kami tetap bergurau macam orang biasa. Gurauan ini adakalanya bersikap sinikal, namun kami tidak mudah ambil hati atau melenting tidak tentu pasal".

"Kalau ada teguran, kami akan sampaikan dengan bahasa yang elok. Malah kami tidak kisah untuk memberi teguran membina sesama sendiri demi kebaikan bersama," akui Jatt sambil dipersetujui oleh ahli lain.
Sambung Jatt lagi, kalau tiada sesiapa yang sibuk dengan komitmen kerja, mereka akan bertemu walaupun tidak sekerap dahulu.


Pada bulan Mei 2009 dahulu, Black Dog Bone pernah membuat satu persembahan konsert khas, bersempena dengan Sambutan Hari Ibu 2009.

Mari kita soroti kembali perjalanan konsert berkenaan :-

Konsert pada malam itu akan menjadi penentu kepada hidup dan matinya Black Dog Bone. Jika gagal maka gagal juga kami," luah Jatt ketika ditemui tidak lama dahulu. Tapi pada persembahan pertama Jumaat lalu, memang sesuailah status legenda dipegang oleh Black Dog Bone.

Konsert Black Dog Bone yang berakhir malam ini dianjurkan oleh Box Office (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Istana Budaya dan Kumpulan Utusan. Diadakan sempena meraikan Hari Ibu pada hari ini.

Bagi penonton yang sudah menyaksikan konsert tersebut, sudah pasti banyak kenangan lama yang tersingkap kembali. Ini akan mengingatkan kembali kemasyhuran yang pernah dikecapi oleh kumpulan ini suatu ketika dahulu.

Persembahan yang berlangsung selama hampir 2 jam 30 minit sangat bertenaga sekalipun anggota-anggota Black Dog Bone sudah lanjut usianya. Kehebatan silam pada zaman gemilang dekad 80an terus menyala di Istana Budaya.

Penonton bagaikan tidak puas untuk menoleh kenangan, disebalik lagu-lagu hebat Black Dog Bone dalam masa 2 jam 30 minit itu tanpa henti.


Kemunculan Black Dog Bone sememangnya dinantikan ramai. Apabila mereka mula memasuki pentas sambil menyanyikan lagu Malam Kenangan dan Si Gadis Ayu, penonton mula bersorak. Seakan ada kuasa magis yang memukau hadirin yang hadir. Persembahan pertama Black Dog Bone itu seakan-akan membuatkan penonton tidak sabar menantikan lagu-lagu seterusnya.

Walaupun menyanyi sambil bermain drum, Jatt masih lagi mempamerkan kemantapan vokal sama seperti dahulu. Kehebatannya sebagai penghibur tidak pernah pudar.

Tidak puas rasanya jika tidak melihat Jatt menyanyikan lagu sambil bermain drum. Mereka membawa pemuzik undangan dari Kota Singapura untuk menggantikan tempat Jatt ketika menyanyi.

Jatt meneruskan penguasaan pentas dengan lagu Zai, Lupakan, Diganggu Kenangan & Sayang sambil diiringi oleh ahli kumpulan yang lain. Walaupun lebih ramai yang mengenali Jatt sebagai penyanyi utama tetapi anggota yang lain juga masih boleh menyanyi. Pentas pada malam tersebut diserahkan kepada Razzi M (gitaris) yang mendendangkan lagu Nani Adikku Sayang yang sudah jarang dimainkan di radio pada waktu ini.

Segenap ruang kembali gamat apabila nyanyian lagu Nasi Goreng dinyanyikan oleh Jatt. Gelombang kehangatan malam diteruskan dengan lagu Joget Hati Jujur & Joget Bujang Di Rantau oleh Masron (pemain trumpet).



Black Dog Bone telah membuktikan bahawa faktor usia bukan penghalang bagi mereka untuk terus memberikan yang terbaik kepada peminat yang hadir.

Dengan rangkaian lagu-lagu lain seperti Untukmu Ibu, Geram & Rileks, membuatkan Hamid, Masron dan Razzi M melepaskan geram dan seterusnya mempamerkan kehebatan nyanyian masing-masing. Jatt terus menyanyikan lagu Bahagia Dan Derita, Bila Rindu, Hatiku Luka Lagi, Dahulu Dan Sekarang & Khayalan yang menjadi lagu penutup tirai malam tersebut.

Ruang pentas yang berkonsepkan kelab malam semakin hangat. Lagu Khayalan benar-benar menjadi medan untuk kesemua anggota Black Dog Bone menunjukkan taring.

Selaku vokalis utama kumpulan Black Dog Bone, Jatt mengakui telah memberi sepenuh komitmen terhadap konsert yang berlangsung itu dan berpuas hati dengan sambutan daripada peminat.

"Kalau diikutkan janji dahulu kami akan mempersembahkan 20 buah lagu. Tapi bagi pihak Black Dog Bone sendiri memperuntukkan hampir 28 lagu. Atas faktor masa kita terpaksa menjadikan 18 buah sahaja. Walaupun ada sedikit kecacatan dari segi perjalanan konsert tetapi kami tetap mengharapkan agar penonton yang hadir terhibur dan mengembalikan nostalgia dulu-dulu," ujar Jatt lagi mengakhiri perbualannya.

Begitulah sedikit gambaran tentang kejayaan konsert Black Dog Bone sempena Hari Ibu tersebut.


Sekarang mari kita soroti sejenak akan kisah vokalis utama (Jatt) kumpulan Black Dog Bone ini, seperti yang di wawancara kan bersama wartawan sekitar bulan Januari 2014 dahulu :-

Jatt tidak menafikan jarak sempadan antara Malaysia dan Singapura cuma dipisahkan oleh Tambak Johor yang tidak sampai 30 minit sahaja untuk diseberangi. Namun, bagi penyanyi kumpulan Black Dog Bone ini, jarak itu sebenarnya lebih dekat dalam kerjayanya sebagai anak seni.

Ini kerana, sepanjang terbabit dalam bidang nyanyian, negara ini banyak mengangkat namanya di mata para peminat. Jatt memang dikenali di Singapura tetapi tawaran menyanyi pula lebih banyak diperoleh di negara ini sejak dia mula menyanyi pada 1973 lagi.

Malah, menurut Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali sehingga kini pun dia masih menerima banyak undangan mengadakan persembahan pentas di negara ini. Justeru, penyanyi yang bersuara lantang ini menganggap Malaysia sudah seperti rumah keduanya sejak dari dulu lagi.



Namun, Jatt tidak berpuas hati setakat itu sahaja, jika boleh bapa kepada empat orang anak ini turut mengimpikan untuk terus menjadi warganegara Malaysia. Katanya, dengan cara itu ia akan lebih memudahkannya memenuhi banyak jemputan menyanyi di sini sejak akhir-akhir ini.

"Walaupun saya warganegara Singapura tetapi kerja saya lebih banyak di Malaysia. Saya boleh dikatakan mencari makan di sini. Sejak dari dulu saya terpaksa berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur untuk menyanyi. Apatah lagi, ini bukannya suatu perkara baharu.

"Saya telah lakukan ini sejak tahun 1973 lagi. Selama 41 tahun itulah saya berulang-alik sama ada dengan menaiki bas atau kapal terbang. Sebab itu, cukuplah setakat itu sahaja. Kalau boleh saya mahu menetap di Malaysia supaya urusan-urusan kerjaya saya lebih senang.

"Kawan-kawan saya ramai di Malaysia, malah anak bongsu saya Allisya (hasil perkahwinan dengan Sharifah Shahirah) juga tinggal di sini. Apabila semakin tua rasa penat jugalah kalau asyik berulang-alik dalam perjalanan sehingga lima jam seperti ini," katanya kepada wartawan sewaktu pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.



Penyanyi berusia 58 tahun ini ditemui pada majlis pengumuman sempena persembahan kedua dan terbaharunya, One Night Only With Jatt yang diadakan di The Heritage Club, Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 28 Februari 2014.

Jelasnya tawaran menyanyi seperti itu sukar untuk dilepaskannya begitu sahaja. Ini kerana, dia pernah mengadakan persembahan di tempat yang sama Februari tahun lalu yang mana sambutannya amat baik sekali meskipun tampil secara solo tanpa Black Dog Bone.

"Walaupun saya menyanyi solo tetapi saya tetap menyanyikan lagu-lagu Black Dog Bone selain daripada album solo saya. Banyak lagu popular saya seperti bertajuk Sisa-Sisa Cinta yang masih diingati para peminat sampai sekarang yang akan saya nyanyikan malam itu nanti," ujarnya.

Sebagai permulaan, bagi memudahkan kerjayanya dalam bidang nyanyian Jatt telah berpindah dari Singapura ke Johor sejak dua tahun lepas (dari tahun 2012 lagi). Dia kini menetap bersama isteri hasil perkahwinan ketiganya, Norimah Zaini, 39, di sebuah kawasan perumahan elit di sekitar Nusajaya.

jatt bersama isteri (norimah zaini) & anak bongsunya (allisya)

Dengan cara menetap di Johor ia secara tidak langsung akan lebih memudahkannya bergerak ke sana sini di negara ini dalam memenuhi tawaran menyanyi yang masih diterimanya sehingga kini. Tidak cukup dengan itu, Jatt turut merancang mahu membeli sebuah rumah di Johor.

"Buat masa ini, saya menyewa sebuah rumah di Nusajaya dengan sewa RM2,700 sebulan sejak dua tahun lepas. Sebelum ini saya tinggal di pangsapuri di Tampines, Singapura tetapi saya sudahpun jual dengan harga $500,000 dolar Singapura (RM1.5 juta).

"Kalau boleh saya mahu memiliki rumah sendiri dan sedang mencari rumah yang sesuai di sekitar Nusajaya. Saya sukakan kawasan di sekitar Nusajaya yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuklah aspek keselamatan dan ia lebih selesa berbanding di Singapura.

"Pada masa sama, saya juga akan memohon bukan sahaja sebagai taraf penduduk tetap tetapi kalau boleh sebagai warganegara Malaysia. Saya sanggup menggugurkan taraf kerakyatan Singapura semata-mata kerana ia akan lebih memudahkan saya cari makan di sini," katanya.

Jelas Jatt, sebelum ini dia pernah memohon untuk mendapatkan taraf penduduk tetap di negara ini tetapi sayangnya permohonannya itu telah ditolak. Namun, kegagalan itu tidak mematahkan semangatnya yang mana sehingga kini masih berusaha bagi merealisasikan impiannya itu.



Selain menyanyi, Jatt yang juga merupakan pemain dram Black Dog Bone ini menambah, Malaysia bukan sahaja tempatnya mencari rezeki tetapi dia juga mempunyai banyak nostalgia pahit dan manis yang sukar untuk dilupakan buat selama-lamanya.

"Saya pernah menetap di Kuala Lumpur dari tahun 1994 sehingga 2000. Ketika itu, bekas isteri saya Sharifah Shahirah pernah menjadi penjamin dalam permohonan saya untuk mendapatkan taraf penduduk tetap. Sayangnya dua kali permohonan saya itu telah ditolak.

"Sehubungan itu, saya berharap pihak-pihak yang berwajib dan yang berkaitan seperti KDN (Kementerian Dalam Negeri) dapat membantu saya. Saya amat berbesar hati dan bersyukur kalau permohonan saya ini mendapat perhatian mereka selepas sekian lama.

"Walaupun anak-anak dan saudara-mara saya semuanya masih lagi tinggal di Singapura tetapi saya sanggup berpisah dengan mereka kerana tuntutan kerjaya. Malah, kalau ditakdirkan mati pun saya bangga kalau dapat mati di negara ini," ujarnya lagi dalam nada bersungguh-sungguh.



Musibah yang menimpa Hamid (pemain bass Black Dog Bone) dan sedikit sorotan disebalik kisah beliau pada tahun 2014 yang lalu :-

Bagaimanapun, bak kata pepatah, malang tidak pernah berbau. Pada masa sama, Hamid (bassist) juga tidak boleh menduga pada suatu hari dia akan diuji dengan dugaan yang begitu besar dalam hidupnya.

Dalam hal ini, pemuzik berasal dari Geylang Serai, Singapura ini tentunya sukar melupakan tarikh 2 April 2014 yang lalu. Ini kerana, pada tarikh itulah bermulanya suatu episod baharu dalam hidupnya apabila sebelah kakinya terpaksa dipotong.

Menurut Hamid, kaki kanannya terpaksa dipotong atas nasihat doktor kerana dijangkiti kuman sekembalinya dia dari mengadakan persembahan di China pada pertengahan Mac 2014 yang lalu.

“Saya tiada pilihan lain. Kalau tidak dipotong kuman yang ada di kaki kanan saya itu kata doktor akan merebak ke bahagian-bahagian lain. Kesannya akan lebih membahayakan kerana ia akan membabitkan bahagian badan yang lain".

“Difahamkan jangkitan kuman pada kaki saya itu berlaku sewaktu saya berada selama hampir dua minggu kerana mengadakan persembahan di Chengdu, wilayah Sichuan, China".

“Dalam kunjungan itu, saya mengadakan persembahan bersama beberapa orang pemuzik dari Singapura. Saya pun kurang pasti bagaimana jangkitan kuman itu boleh berlaku. Dua hari sebelum balik ke Singapura barulah ia dapat dikesan".

“Ketika itu, saya dapati jari-jari kaki kanan saya mula bertukar ke warna kemerah-merahan dan kehitam-hitaman. Selepas menjalani pemeriksaan doktor kata kaki saya kena jangkitan kuman".

“Atas nasihat doktor itulah maka saya tiada pilihan lain dan kaki kanan saya daripada bahagian lutut dan ke bawah telah pun dipotong bagi mengelakkan kuman itu melarat ke anggota badan yang lain," cerita Hamid dengan panjang lebarnya kepada wartawan sewaktu ditemui baru-baru ini.



Bapa kepada seorang anak perempuan, Tamara, 32, ini mengakui dia kini bukan sahaja berada dalam kategori warga emas, malah pada masa sama boleh dikategorikan sebagai golongan orang kurang upaya ataupun OKU.

Setelah lebih sebulan menjalani pembedahan bagi memotong bahagian bawah kakinya itu, Hamid mula merasai keperitan untuk bergerak ke sana ke mari dalam menjalani kehidupannya seharian.

“Walaupun baru sebulan lebih saya tiada kaki sebelah tetapi saya dapat rasakan kesukarannya untuk bergerak.Saya sudah tidak boleh aktif macam dulu lagi. Sekarang ini, kalau mahu berjalan jauh saya terpaksa menggunakan tongkat".

“Mujurlah saya ada sebuah motosikal yang telah diubah dengan ditambah lagi dua roda menjadikannya empat roda. Motosikal itu saya gunakan di Singapura setiap kali saya mahu menunaikan solat Jumaat di Singapura".

“Selepas 63 tahun hidup di dunia ini, barulah hari ini saya dapat rasakan sendiri betapa susahnya berjalan dengan sebelah kaki. Apapun saya tetap bersyukur sebab masih ada lagi sebelah kaki".

“Cuma saya ada sedikit masalah kalau mahu berjalan jauh kerana terpaksa menggunakan tongkat. Pada masa sama, ia juga menyebabkan saya cepat berasa penat apatah lagi pada usia sebegini," ujar beliau lagi dalam nada perlahan.



Sungguhpun dalam kategori OKU tetapi itu semua tidak mematahkan semangat Hamid. Dia boleh dikategorikan berjiwa kental kerana muzik adalah sebahagian daripada hidupnya.

Justeru, biarpun hanya mempunyai sebelah kaki, namun pemuzik yang masih mengekalkan rambutnya yang panjang sehingga ke paras bahu sejak tahun 1975 hingga kini itu masih bersemangat untuk bermain muzik.

Semoga Hamid akan senantiasa tabah dalam mengharungi liku-liku hidup beliau kelak.


Malang berterusan lagi bagi kumpulan ini apabila pada tarikh 22 Mac 2015, salah seorang anggota Black Dog Bone yang juga pemain trumpet terkenal, Masron Ali telah meninggal dunia di awal subuh pada usia 71 tahun. Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 4.30 pagi Ahad di Hospital Besar Changi setelah sebulan dimasukkan ke hospital tersebut sebelum ini, akibat masalah paru-paru.

Stesen penyiaran tempatan MediaCorp Singapura dimaklumkan, jenazah Masron kemudian dibawa pulang ke Blok 611, Choa Chu Kang untuk dikafankan sebelum dikebumikan di Pusara Abadi. Kali terakhir Allahyarham membuat persembahan di khalayak ramai ialah pada 1 Januari 2015 di Esplanade, apabila kumpulan Black Dog Bone bergabung dengan kumpulan Gingerbread untuk mengadakan konsert bersama.


Bersama Masron, Black Dog Bone pernah merakamkan tujuh buah album lagu manakala antara lagu nyanyian Allahyarham yang pernah menjadi lagu jenaka ikonik popular ialah 'Geram'.

Semoga Allah akan mencucuri rahmat ke atas arwah Masron & ditempatkan roh beliau dikalangan orang-orang yang beriman hendaknya.. Amin.

Itulah sahaja untuk kali ini, sekadar perkongsian kisah dari kumpulan tersohor Singapura ini. Semoga anda semua akan mendapat manafaatnya jua.

Dan akhir kata.. 'Majulah Sukan Untuk Negara'.. haah haah haah !! (macam tak kena jer slogan dengan cerita nih).

Jom check it out the discography.. zasssss



Sindir-Sindir Sayang (1976)













Si Gadis Ayu (1978)


















Khayalan (1978)


















Dulu Dan Sekarang (1979)























Diganggu Kenangan (1980)













Bahagia Dan Derita (1980)


















Diskorama (1981)













Kembali Lagi (1986)













Reunion (2002)













Andai (2005)












(info cover - credit to akubudakpenang, mat4nira, berteromber, mastercomp)

4 comments:

  1. Jatt diction dia bagus, dia boleh bawak lagu omputeh lagu2 Dio dengan baik, aku suka album dia main three piece band Ministry of Rock. Hamid, is macam permanent peganti tempat arwah Syed Hassan everytime Sweet Charity buat show reunion. Arwah Masrom sebelum meninggal ada stories interviews dia in colour semua kat sokkabar Singapure, tup tup news dia keninggal.Razzi M pula, in another how you look at it, ialah abang kepada Drummer Rockers.

    ReplyDelete
    Replies
    1. wahh, nampaknya banyak info-info penting yang aku tertinggal nak isi dalam segmen BDB kali ini, thank you deaf atas perkongsian maklumat nih.. bravo bro..

      btw.. mintak maaf deaf pasal kes cerita sembah setan tu, gua takde niat pun nak maksudkan nya begitu, missunderstood la tu.. hehe, sorry again bro, wa caya sama lu & peace yo

      Delete
  2. Ni semua kenangan zaman sebelum akil baligh...terbaik!

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahahaha !! kenangan yang tak bisa kita lupakan yer bert !! kenangan zaman belum mumayyiz, h3h3 h3h3

      Delete