Music Player

Wednesday, October 26, 2016

Discography Skid Row


Skid Row adalah sebuah kumpulan rock metal yang berasal dari New Jersey, Amerika Syarikat. Band yang beraliran 'glam metal' ini dibentuk pada tahun 1986 dengan formasi awal ahlinya terdiri dari Matt Fallon (vokal), Dave Sabo (gitar), Steve Brotherton (gitar), John Ratkowski Jr. (drum) dan juga Rachel Bolan (bass).


Kumpulan Skid Row ini adalah merupakan salah satu dari generasi terakhir yang terhasil dari kelompok kumpulan-kumpulan yang memainkan irama muzik bergenre 'Hair Metal'.

Mereka berjaya meraih populariti dengan menerbitkan lagu-lagu hits, sebelum akhirnya band ini kecundang gara-gara kemasukkan aliran grunge & alternatif yang muncul pada pertengahan tahun 90an dahulu.


Di peringkat awal penubuhannya, Skid Row sering mengadakan persembahan dan juga mini konsert di kebanyakkan kelab-kelab malam tempatan di sekitar bahagian Timur, USA. Dengan cara itu mereka berharap akan terus kekal mendapat sokongan dari para peminat setia Skid Row, bagi merealisasikan impian untuk menjadi sebuah band Rock terkenal dan disegani pada suatu masa nanti.

Tidak lama kemudian, melalui formasi terbaru Skid Row yang terdiri dari Sebastian Bach (vokal), Dave Sabo (gitar), Scotti Hill (gitar), Rachel Bolan (bass) dan Rob Affuso (drum), kumpulan ini dilihat semakin bersemangat dan mampu menembusi dunia rakaman.


Sesudah itu, melalui hasil usaha dan bantuan dari penyanyi popular yang juga merupakan anak kelahiran New Jersey, iaitu Jon Bon Jovi (juga sahabat karib kepada Dave Sabo), akhirnya dalam tahun 1989 Skid Row berjaya meriliskan album pertama mereka yang bertajuk 'Skid Row' dibawah labels Atlantic Records.

Album debut ini telah mencapai tangga ke-6 di carta Billboard 200, untuk melayakkan mereka memperolehi anugerah Platinum Disc dari 'Recording Industry Association of America' (RIAA). Antara lagu-lagu hebat yang terdapat di dalam album sulung Skid Row ini adalah seperti, "Youth Gone Wild", "18 and Life" dan "I Remember You".


Menyusul kemudiannya pada tahun 1991 Skid Row telah mengeluarkan album ke-2 mereka iaitu 'Slave to The Grind'. Masih lagi dibawah naungan labels Atlantic Records, album ini meledak di pasaran dengan angka jualan mencecah 134 ribu unit hanya dalam masa seminggu diedarkan. Juga mendapat tempat pertama di carta Billboard 200 selama 2 bulan berturut-turut.

Secara keseluruhannya, album mereka kali ini telah mencapai jualan sehingga hampir 2 juta unit di seluruh USA. Itu belum lagi diambil kira dengan hasil jualan di seluruh dunia. Hebatnya penangan dari album 'Slave to The Grind' ini. Antara lagu-lagu berhantu (memang best), yang terdapat dalam album ini adalah, "Monkey Business", "Slave to the Grind", "Wasted Time" dan juga "In a Darkened Room". Vokal Sebastian Bach melalui single 'Wasted Time' memang benar-benar memukau, ditambah pula dengan ketampanan wajahnya, sehinggakan penyanyi ini menjadi kegilaan ramai para peminat wanita, yang begitu teruja pada beliau.


Manakala 'Subhuman Race' adalah album ke-3 mereka yang diterbitkan pada tahun 1995. Malangnya album ini kurang berjaya, berbanding dengan 2 album terawal Skid Row. Walhal producer Bob Rock (penerbit bagi album Metallica) yang telah menerbitkan album mereka ini, tetapi masih tetap buntu di pasaran. Entah dimana silapnya, mungkin pemilihan lagu-lagu dalam album ini kurang bersesuaian dengan arus peredaran muzik semasa.

Hanya sebuah lagu yang berentak power ballad sahaja yang boleh dibanggakan melalui album ini, iaitu "Breakin' Down". Dan kebanyakkan lagu-lagu lain lebih menjerumus ke arah muzik groove metal dan juga grunge. Mungkin inilah puncanya, kenapa album ini gagal.


Nama Skid Row mulai malap dan hampir tenggelam pada pertengahan dekad tahun 2000, akibat dari masalah dalaman yang melanda sesama ahli. Natijahnya, maka sesudah itu Sebastian Bach telah dipecat dari menganggotai kumpulan Skid Row. Ini berlaku kerana kurangnya disiplin diri dan juga sikap beliau yang gemar berpoya-poya dengan ramai wanita.

Rentetan dari itu, mereka melantik pula Johnny Solinger sebagai vokalis baru, bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Sebastian Bach. Dan pada tahun 2003, bersama dengan vokalis Johnny, kumpulan Skid Row berjaya menerbitkan album ke-4 yang diberi judul 'Thick Skin'.


Dan selang 3 tahun berikutnya, album ke-5 (juga album terakhir Skid Row) menyusul pada tahun 2006 dengan tajuk 'Revolutions Per Minute'. Semenjak dari itu nama Skid Row semakin dilupai oleh orangramai dan penampilan mereka sedikit demi sedikit mulai kelihatan pudar.

Berikut adalah Line-Up Terkini Skid Row :-

Rachel Bolan – bass & vokal (1986–kini)
Dave "The Snake" Sabo – gitar (1986–kini)
Scotti Hill – gitar (1987–kini)
Rob Hammersmith – drum (2010–kini)


Kebanyakkan peminat setia Skid Row telah beralih arah kepada Sebastian Bach, melalui album solo penyanyi berkenaan. Bagi para peminat tegar Skid Row, inilah ungkapan mereka :-

"Kumpulan Skid Row itu sendiri adalah Bach, kerana Bach yang telah menaikkan nama Skid Row, mana mungkin ada lagi Skid Row tanpa Bach, dan kami akan sentiasa berada di belakang Bach" - (merujuk kepada album-album solo Sebastian Bach).


Kini yang tinggal hanyalah para peminat mereka, yang sudah pun berpecah menjadi dua kelompok. Satu puak memihak kepada Skid Row versi baru, manakala satu lagi puak lebih berpihak kepada Sebastian Bach.

Dan bagi para pemerhati serta pengkritik muzik khasnya, dan juga bagi peminat tegar muzik Rock amnya, pasti jua mengetahui bahawa Skid Row adalah merupakan sebuah band yang pernah berjaya dalam mewarnai persada muzik Rock antarabangsa pada akhir dekad 80an dahulu, yang mana saat dan ketikanya, zaman muzik Glam Rock dan Hair Metal begitu disanjungi dan juga dipuja oleh kebanyakkan peminat.


Tak kisahlah anda nak sokong sesiapa pun, janji irama muzik Rock akan terus hidup dan subur berkembang sehingga ke zaman berzaman.

Sekian.

Aah aah..! jangan lupa kawan-kawan, sebelum beredar tu, apakata kita hayati diskografie Skid Row kat bawah nie.. huh huh..



Skid Row (1989)













Slave to the Grind (1991)













B-Side Ourselves (1992) EP













Subhuman Race (1995)













Subhuman Beings on Tour (1995) Live_EP













Thickskin (2003)













Revolutions per Minute (2006)













United World Rebellion: Chapter One (2013) EP













United World Rebellion: Chapter Two (2014) EP