Music Player

Showing posts with label Mr. Big. Show all posts
Showing posts with label Mr. Big. Show all posts

Sunday, January 15, 2017

Discography Mr. Big


Mr. Big adalah sebuah kumpulan band yang berpaksikan muzik hard rock. Kumpulan ini ditubuhkan di Los Angeles, Amerika Syarikat pada penghujung tahun 1988 lagi. Pada asalnya kemunculan Mr. Big telah dimulakan oleh Billy Sheehan (bassis) yang sewaktu itu bertindak meninggalkan band iringan solo 'David Lee Roth' di awal tahun 1988.

Kemudiannya Billy Sheehan dengan hasil bantuan dari Mike Varney (orang kuat Sharpnel Records/merangkap pengurus Mr. Big sesudah itu), jadi mereka berdua telah merancang untuk membentuk sebuah band baru di bawah naungan Label Sharpnel Records. 

Setelah melakukan beberapa siri audition, maka Eric Martin (vokalis) telah dipilih untuk menganggotainya, dan kemudian selepas itu mereka merekrut pula Paul Gilbert (gitaris) dan juga Pat Torpey (drummer). Dan akhirnya band yang baru dibentuk ini lalu diberikan nama sebagai 'Mr. Big'.


Band ini telah menghasilkan sejumlah lagu-lagu hits melalui vokal yang padu dan harmoni. Antara lagu mereka yang sering menjadi siulan termasuklah, "To Be With You" (pernah menjuarai carta nombor 1 di 15 negara pada tahun 1991) dan juga "Green-Tinted Sixties Mind".

Mr Big tetap masih gah aktif dan begitu popular selama lebih dari dua dekad, walaupun konflik dalaman melanda anggotanya dan juga trend perubahan muzik semasa yang sering berubah-ubah.

Kumpulan ini pernah dibubarkan seketika pada tahun 2002, tetapi setelah ada permintaan dari para peminat supaya mereka bersatu kembali, maka pada tahun 2009 mereka pun mula bergabung semula (reunion).


Pada permulaannya kumpulan Mr. Big telah mengeluarkan album pertama mereka pada tahun 1989. Album debut ini turut diberikan judul sebagai 'Mr. Big' juga, dan di bawah naungan Label Atlantic Records. Namun album tersebut masih belum berjaya sepenuhnya, sekadar menduduki anak tangga ke-46 di carta muzik US Billboard 200 sahaja.

Setelah itu album ke-2 Mr. Big, 'Lean Into It' yang diterbitkan dalam tahun 1991, merupakan penanda aras akan kegemilangan serta kejayaan mereka selepas ini. Manakan tidaknya, album ini telah meletup di pasaran dunia, sekaligus menaikkan nama band ini ke kemuncaknya, melalui 2 lagu ballads yang dipertaruhkan oleh mereka iaitu 'To Be With You' (no.1 carta US Billboard 100) & juga 'Just Take My Heart' (no.16 carta US Billboard 100).

Kemudiannya pada tahun 1992, mereka melancarkan pula sebuah album live dengan judul 'Mr. Big Live'. Setahun selepas itu, iaitu dalam tahun 1993, album ke-3 Mr. Big yang berjudul 'Bump Ahead' menemui para peminat mereka. Dimana sebuah lagu blues ballads garapan semula dari album Cat Stevens, yang berjudul 'Wild World', telah menaikkan jualan album ini sehingga memperolehi anugerah 'Gold Disc'.


Mr. Big sesudah itu telah meriliskan album ke-4 mereka pada tahun 1995 yang berjudul 'Hey Man'. Dan hal yang menariknya, salah satu lagu yang dipetik dari album tersebut turut dijadikan soundtrack untuk siri kartun popular, 'Mega Man'.

Walaupun band ini tidak pernah lagi mengulangi akan kejayaan terdahulu mereka di pasaran Amerika amnya (sebelum ini album ke-2 Mr. Big, 'Lean Into It' adalah album yang paling berjaya, disamping juga album ke-3 'Bump Ahead'), tetapi mereka sangat terkenal di negara Jepun dan juga beberapa negara lain di rantau Asia khususnya. Mr. Big sesudah itu juga ada melancarkan album live yang berikutnya iaitu 'Live At Budokan' yang ditujukan khas untuk pasaran Jepun.

Dan pada tahun 1997, band ini mengambil keputusan untuk berehat (dikuarantinkan) buat sementara waktu kerana ahli-ahlinya yang sibuk dengan projek solo masing-masing.


Paul Gilbert (gitaris) telah mengundurkan diri dari band pada tahun 1997 dan posisinya digantikan pula oleh Richie Kotzen (seorang pemain gitar blues). 

Setelah itu bersama dengan gitaris baru mereka iaitu Richie Kotzen, 2 studio album selanjutnya dikeluarkan secara berturutan iaitu album 'Get Over It' (2000) & juga album 'Actual Size' (2001). Kelainan telah dibawa oleh Kotzen, dengan cara permainan gitar beliau yang ala-ala muzik blues legendaris 'Gary Moore', Sekaligus meningkatkan populariti band ini kembali naik ke persada antarabangsa. Dan 2 album berkenaan telah diterima peminat dengan agak baik terutamanya untuk pasaran Jepun dan juga Asia. 


Bagaimanapun berlaku konflik ketegangan antara Billy Sheehan (bassis) dengan ahli yang lain sewaktu Billy Sheehan dalam rangka lawatan konsert bersama Steve Vai (gitaris solo popular). Dimana anggota Mr. Big saat itu sedang menggubah lagu, bagi album terbaru mereka tanpa penyertaan dari Billy Sheehan.

Eric Martin (vokalis), Richie Kotzen (gitaris) & Pat Torpey (drummer) akhirnya bersetuju untuk meneruskan projek album baru mereka, dengan memecat Billy Sheehan kerana beliau tidak memberi sebarang komitmen kepada band Mr. Big lagi. Namun begitu pengurus mereka, Mike Varney tidak bersetuju dengan keputusan tersebut, lalu beliau meminta agar Billy Sheehan bergabung semula dengan band untuk satu konsert perpisahan (farewell). 

Disebabkan krisis masalah tersebutlah, maka kumpulan Mr. Big terpaksa berpecah pada tahun 2002, selepas sahaja konsert farewell diadakan. Dan yang lebih malangnya lagi, album terbaru mereka yang digembar-gemburkan sebelum ini dan bakal diterbitkan pada tahun 2002 itu juga turut dibekukan.


Pada tarikh 1 Februari 2009, salah sebuah radio tempatan di US ada mengkhabarkan bahawa Mr. Big bakal kembali bersatu dengan formasi asal mereka, bagi meraikan 20 tahun penglibatan mereka di arena muzik. 

Dan akhirnya album terbaru mereka yang tertunda sebelum ini, telah dilancarkan pada tanggal 21 Januari 2011 dengan menggunakan judul 'What If'. Album ini adalah merupakan album ke-7 mereka setelah hampir 10 tahun kumpulan ini menyepi dari menghasilkan sebarang album. 

Tetapi agak mengecewakan sedikit, kerana cover album 'What If' ini menyentuh sensitiviti umat Islam, dimana covernya menampilkan gambar seekor babi (khinzir) yang bersayap (eei.. geli dan loyanya yusrina bila tengok gambar cover babi nihh... uweeek huhuhuhh).


Manakala album ke-8 Mr. Big, juga merupakan album terakhir mereka setakat ini telah diterbitkan pada tahun 2014, yang bertajuk 'The Stories We Could Tell' di bawah Label Frontiers Music. Tidak banyak yang istimewanya melalui album ini. Hanya sekadar pelengkap bagi sebuah album baru mereka sahaja. Dan sesudah itu tiada lagi album sehinggalah kini.

Formasi Semasa Mr. Big :-

Eric Martin – vokal (1988-2002, 2009-sekarang)
Pat Torpey – drum (1988-2002, 2009-sekarang)
Billy Sheehan – bass (1988-2002, 2009-sekarang)
Paul Gilbert – gitar (1988-1997, 2009-sekarang)

Bekas Ahli :-

Richie Kotzen – gitar (1999–2002)



Dan melalui sumber rasmi laman web Mr. Big ada menyatakan bahawasanya, kumpulan ini bakal menerbitkan sebuah lagi album baru pada tahun 2017 ini. Persoalannya, adakah ianya akan menjadi kenyataan ? Jika ianya benar, maka sudah pastilah akan menggembirakan jutaan peminat mereka di seluruh dunia ini.

Semoga album ke-9 Mr. Big itu akan benar-benar menjadi realiti hendaknya. Sama-samalah kita pakat nantikannya ya.

Akhir kata, syabas kepada kumpulan Mr. Big, yang telah mewarnai kancah muzik hard rock antarabangsa untuk sekian lamanya. Yusrina salute to you all Mr. Big.

Terimakasih.

Sebelum berakhir, mari kita soroti perjalanan muzik dari Mr. Big ini.. ayuh zoom in.. huhhuh.



Mr. Big (1989)















Lean into It (1991)















Bump Ahead (1993)















Hey Man (1996)















Get Over It (2000)















Actual Size (2001)















What If... (2011)















The Stories We Could Tell (2014)