Alleycats adalah sebuah kumpulan muzik dari Pulau Pinang yang ditubuhkan pada sekitar tahun 1968. Kumpulan ini dianggotai oleh beberapa ahli yang berbilang kaum. Dan formasi awal Alleycats adalah seperti berikut :-
David Arumugam - vokalis
Loganathan Arumugam - vokalis
Shanmugam Arumugam - gitar
Frank Ong - bass
Tan Chin Hock - drums
Khoo Fook Sin - keyboard
Chester Anthony - seksofon
Grenville Pereira - trumpet
Alleycats telah diasaskan oleh 2 beradik yang berasal dari Pulau Pinang, iaitu David Arumugam dan Loganathan Arumugam. David atau nama sebenarnya Thiagarajan K.R Arumugam, mula aktif dalam kumpulan Alleycats sejak dari penubuhan kumpulan ini sehinggalah kini. Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni muzik, David Arumugam telah banyak memberikan komitmen dan David juga nekad menjadikan nyanyian sebagai pekerjaan sepenuh masa beliau.
Manakala Loga pula adalah merupakan adik kandung kepada David Arumugam. Beliau dilahirkan pada tanggal 15 Julai 1953 di Pulau Pinang. Loganathan mula aktif bersama kumpulan Alleycats sejak dari tahun 1968 lagi. Dan Loga juga adalah vokalis dalam kumpulan ini bersama-sama dengan abangnya, David.
Dan kumpulan The Beads telah menyertai satu pertandingan sulung anjuran Radio Malaysia Talentime pada tahun 1969. Tuah menyebelahi The Beads apabila kumpulan ini telah menjuarai Talentime bagi Zon Pulau Pinang dan mereka layak untuk melangkah ke peringkat akhir yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
Di Kuala Lumpur, The Beads telah dinobatkan sebagai juara. Rentetan dari kemenangan The Beads itu telah membuatkan Super Jets dibubarkan dan kemudian diikuti pula oleh The Originals. Dan kesemua ahli-ahli samada dari The Originals mahupun Super Jets, telah memutuskan untuk bergabung bersama dalam satu formasi. Akhirnya nama 'Alleycats' telah pun dipilih oleh pengurus mereka Ronnie Chiang Kai Chok untuk formasi terbaru ini. Ini kerana mereka hidup dan bergaul berhampiran lorong di mana kawasan itu terdapat banyak kucing. Dari situlah bagaimana nama Alleycats muncul. Dan nama The Beads pun turut dimansuhkan dikala itu juga.
Kumpulan Alleycats menunjukkan komitmen dan prestasi yang baik, dan mereka membuat keputusan untuk berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1970 untuk mencuba nasib mereka di sana. Mereka berjaya mendapat kontrak tiga tahun di Discotheque Tin Mine di Hilton KL, yang kini Mutiara Hotel Kuala Lumpur.
Pada tahun 1973, mereka mula bermain di Singapura dan untuk tiga tahun mendatangnya, Alleycats sibuk kerana membuat persembahan antara Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan juga Singapura. Kemudian mereka menjelajah ke Hong Kong, dan mula membuat persembahan di Disco Memori dan kemudiannya di Modal Club. Mereka juga mendapat permintaan dan seterusnya menandatangani satu lagi kontrak show di Mocambo Club yang terletak di pusat penempatan sektor perniagaan di pulau Hong Kong pada tahun 1976.
Kontrak ini sepatutnya hanya tiga bulan tetapi dek kerana kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh mereka, dalam menarik peminat, telah membuatkan pihak pengurusan mengubah kontrak Alleycats kepada sembilan bulan.
Mereka menjadi terkenal dikalangan penduduk tempatan Hong Kong. Namun ianya tidak berterusan kerana sesudah itu mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan Hong Kong. Yang sebenarnya Alleycats bercadang untuk memulakan kontrak persembahan baru di Singapura, disamping itu juga mereka telah merancang untuk merakamkan album dibawah satu syarikat rakaman popular di Kota Singa tersebut.
Semasa membuat persembahan di Singapura pada tahun 1977, bakat mereka telah dilihat oleh Eric Yeo (Orang Kuat Polygram Records) lalu Eric telah menawarkan kontrak kepada Alleycats untuk menjadi artis rakaman. Dan album pertama Alleycats dalam Bahasa Inggeris, bertajuk 'Alleycats', telah diterbitkan pada tahun 1978. Walau bagaimanapun, album itu tidak mendapat sambutan yang menggalakkan dan mereka diberikan peluang untuk mencuba merakamkan lagu Melayu di bawah komposer baru, Wan Ibrahim dan juga M. Nasir.
Maka lahirlah album melayu pertama Alleycats yang diberi judul, 'Terima Kasih' (1978). Album ini telah mempertaruhkan 2 lagu singles terhebat mereka iaitu, Senandung Semalam & Jika Kau Bercinta Lagi. Dan senarai anggota yang telah menjayakan rakaman album ini adalah seperti berikut :-
David Arumugam - vokal
Loganathan - vokal & seruling
Shanmugam - gitar
Frank Ong - bass
Khoo Fook Sin - keyboard
Tan Chin Hock - drums
Chester Danielle Pasarella - seksofon
Di tahun berikutnya pula Alleycats terus aktif mengeluarkan album melayu seperti album 'Penyanyi' (1979). Yang menariknya bagi setiap album-album yang dihasilkan oleh Alleycats ini, telah berjaya mendapat sambutan yang cukup hebat dari para peminat. Ini terbukti melalui lagu 'Persemadianku', ciptaan Ooi Eow Jin.
Album ketiga mereka yang berjudul Dapatkah, telah menyaksikan bermulanya penglibatan mereka sendiri dalam penciptaan lagu-lagu, ini termasuklah lirik yang juga mereka tulis sendiri (mungkin dengan sedikit hasil bantuan dari M. Nasir) seperti lagu-lagu Ke Pulau Permai, Kisah Semalam & Sejak Ketiadaanmu.
Album keempat mereka, Alleycats 4 (1981) langsung melonjakkan nama Alleycats ke mercu teratas persada muzik tempatan pada awal 80an, sebaris dengan artis-artis berkumpulan lain seperti Black Dog Bone, Carefree, Sweet Charity, Blues Gang & banyak lagi. Dalam album ini juga, Alleycats mencapai kemuncak kegemilangannya dimana lagu 'Hingga akhir nanti' telah mendapat sambutan yang begitu luar biasa, dan pada tahun tersebut juga Alleycats turut membuat konsert pertama mereka di stadium negara.
Dengan kemunculan album kelima yang diberi tajuk Kuching, Alleycats juga telah menempatkan diri mereka di tangga teratas di kalangan artis vokal berkumpulan di ketika itu. Antara lagu-lagu yang menjadi popular melalui album ini adalah seperti lagu Andainya Aku Pergi Dulu, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi & Gerimis Senja.
Banyak album mereka telah mendapat rekod jualan yang tertinggi dan menjadi hits platinum. Tidak mudah sebenarnya bagi sesiapa sahaja untuk mencapai, apatah lagi bagi sebuah band bukan Melayu yang menyanyikan lagu Melayu pula, dan boleh pergi jauh ke kemuncak terbesar dalam industri muzik pop Melayu. Itulah kelebihan Kumpulan Alleycats.
Kumpulan Alleycats sedikit terjejas dari segi penjualan album setelah M. Nasir meninggalkan Labels Polygram dan tidak lagi menyumbangkan lagu ciptaan beliau kepada kumpulan muzik ini. Biarpun begitu, Alleycats terus bertahan dalam industri rakaman tempatan dengan menghasilkan album bagi setiap tahun, sehinggalah memasuki tahun-tahun 90an apabila mereka terpaksa bersaing pula dengan kumpulan muzik rock kapak, seperti Search, Lefthanded, Wings dan lain-lain lagi, yang kelihatannya seperti cuba merampas kedudukan Alleycats di persada teratas industri muzik tempatan.
Pada tahun 1992, Alleycats melahirkan album studio yang berkonsepkan rock sepenuhnya iaitu Untukmu, namun album ini tidak diterbitkan oleh penerbit biasa mereka Eric Yeoh. Dalam tahun 1998 Komposer Eric Yeoh telah kembali semula buat kali terakhirnya untuk menerbitkan album Alleycats yang bertajuk Kucing Lorong.
Kemudiannya, komposer M. Nasir telah kembali untuk menyumbangkan lagu-lagu ciptaannya ke dalam album Alleycats 2001, sekaligus bertindak selaku penerbit album berkenaan apabila Polygram Records diambil alih oleh Universal Music pada saat itu.
Pada tahun 2002, Alleycats melahirkan sebuah album "tribute" dengan merakamkan semula lagu-lagu 'cover' yang begitu popular sejak dari tahun-tahun 60an hingga ke 80an, dengan cara mereka yang tersendiri. Dan bersesuaian dengan usaha mereka itu, maka album ini telah diberi tajuk Interpretasi.
Walaupun kebanyakkan ahli-ahli Alleycats sering bertukar ganti, namun ianya langsung tidak mematahkan semangat juang David & Loga. Dan kumpulan ini tetap utuh bertahan dengan 2 orang ahli sahaja pada tahun 2004, semasa penghasilan album 'Tangga-Tangga Ke Pintu Bahagia'.
Di awal tahun 2007 pula sebuah album tribute khas telah diterbitkan oleh M.Nasir, bagi memberi penghormatan kepada kumpulan Alleycats ini. Dan album istimewa itu berjudul 'Tribute to Alleycats', dimana lagu-lagu Alleycats telah dinyanyikan semula oleh beberapa penyanyi kumpulan rock kapak seperti Awie Wings, Rahmat Ekamatra, Saleem Iklim, Hattan dan juga M.Nasir sendiri.
M.Nasir adalah orang penting di sebalik lagu-lagu hits super Alleycats. Sementara itu, S.Amin Shahab telah menulis lirik dan banyak membantu dalam menghidupkan nama kumpulan Alleycats ini. Mereka membentuk satu kombinasi sempurna yang menghasilkan lagu-lagu hits seperti Hingga Akhir Nanti, Andainya Aku Pergi Dulu, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Senyumlah Kuala Lumpur, Setahun Sudah Berlalu, Nota Terakhir, Sindrom Kota Raya, Kerana dan banyak lagi.
Tahun 80an dikuasai oleh Alleycats dengan rekod jualan paling konsisten. Unsur-unsur muzik mereka banyak dipengaruhi dari muzik pop Barat dengan tambahan irama asli tempatan. Alleycats dianggap sebagai 'Bee Gees' & 'Earth,Wind And Fire' Malaysia.
Bayangkan kumpulan pemuzik bukan melayu ini mampu menyanyikan lagu-lagu Melayu, Inggeris, Cina dan India dengan mudah di hadapan peminat mereka yang terdiri dari berbilang kaum. Apa yang benar-benar menakjubkan adalah bahawa mereka boleh tune up mana-mana jenis lagu pun, samada lagu berentak balada, pop, rock, asli, zapin, joget, sedih, gembira, lucu & juga tragis.
Itulah Alleycats....!
Dengan keghairahan terhadap muzik mereka, penonton tanpa mengira bangsa atau bahasa, menjadikan mereka wira negara yang benar. Lagu-lagu Alleycats yang popular terus bergema di seluruh Malaysia dan luar negara. Kedua-dua adik-beradik ini juga mempunyai fesyen yang tersendiri. Gaya rambut afro mereka menjadikan mereka serta-merta terkenal di mana-mana mereka pergi. Hampir 40 tahun pun mereka masih kekal berambut afro, walaupun Loga terpaksa berkorban apabila beliau perlu menjalani rawatan kemoterapi (masalah paru-paru). Dan tiada siapa yang boleh lupa style mereka (tagline) : Terrrima kaseeeh !
Peminat berasa tenang apabila memainkan lagu-lagu Alleycats yang sentiasa malar segar sehinggakan kita tidak akan jemu mendengarnya walau berulang-ulang kali pun, seperti lagu 'Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi', 'Sampaikan Salam Cintaku', 'Nota Terakhir', 'Andainya Aku Pergi Dulu', 'Suara Kekasih', 'Layang-Layang Terputus Tali', 'Kerana', 'Seribu Bintang', 'Setahun Sudah Berlalu', 'Senandung Semalam', 'Jika Kau Bercinta Lagi', 'Suratan' dan juga 'Senyumlah Kuala Lumpur'.
Alleycats dianggap kumpulan pop yang paling lama bertahan di Malaysia yang masih kekal sehingga sekarang. Kegemilangan kumpulan ini mungkin ada masa jatuh bangunnya, tetapi Alleycats adalah Lagenda yang masih kekal hidup dalam mewarnai persada muzik negara, setelah mereka menerbitkan album studio yang ke-27, berjudul 'Rasa'.
Alleycats sememangnya cukup terkenal dengan imej berambut afro. Dan dalam satu wawancara di sebuah stesen radio popular sedikit masa dahulu, David Arumugam sewaktu ditanya oleh DJ radio berkenaan, "Adakah David tak pernah terfikir ke.. nak potong rambut fesyen lain ?"
Ini jawapan David, "Saya pernah potong dulu, tapi selepas itu saya terima banyak komplen dari peminat, dan sejak itulah saya dah tak pernah tukar fesyen rambut lagi, dan kekal dengan rambut afro ini sampailah sekarang.. Makasseehh.. Huhh Huhh !!".
Dengan kematian Loga itu, maka David sahajalah merupakan ahli tunggal yang masih terus memperjuangkan kumpulan Alleycats sehingga kini. Dimana sebahagian besar ahli-ahli kumpulan Alleycats yang lainnya telah meninggalkan kumpulan ini, atas sebab-sebab komitmen tersendiri.
Kumpulan Alleycats juga pernah mengadakan sebuah konsert di Istana Budaya pada tahun 2011 yang lalu. Dan dalam konsert tersebut, buat julung kalinya telah diiringi oleh band orkestra, bersama-sama dengan penampilan istimewa, anak perempuan kepada mendiang Loga iaitu Priyadashini (29 tahun).
David Arumugam juga pernah menerima pingat kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) dari Sultan Ahmad Shah pada majlis penganugerahan suatu ketika dahulu. Selama ini David Arumugam yang juga tonggak utama kumpulan muzik legenda negara Alleycats, tidak pernah pun mendambakan kurniaan setinggi itu diberikan oleh seorang Sultan buatnya.
Hati kecil David benar-benar tersentuh apabila Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan memberikan penganugerahan itu. "Tiada kata-kata yang dapat saya gambarkan apabila seorang Raja Melayu memberikan anugerah ini kepada saya", kata David Arumugam.
Hati David sungguh berbangga apabila tangannya mengusap dua pingat kebesaran itu. Salah satu dari dua pingat kebesaran yang diterimanya ialah Johan Setia Mahkota (JSM) dari Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Sementara satu lagi kebanggaan buatnya sudah tentulah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang dikurniakan oleh Sultan Pahang pada beberapa tahun yang lalu.
Selain David, penyanyi pujaan ramai Khatijah Ibrahim juga turut diberi gelaran yang sama. Kedua-dua anugerah yang diterimanya itu, telah disifatkan sebagai pencapaian terbesar dalam hidupnya sebagai anak seni. "Anugerah ini sangat bermakna buat saya sebagai anak seni. Selepas 40 tahun menyanyi, saya sangkakan tidak ada orang yang akan ingat", luah David sambil merendah diri. Paling utama, anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk ini disifatkan David sebagai penghargaan yang tulus buat para peminatnya.
Namun di saat keluarga, rakan-rakan dan peminat-peminat berkongsi berita gembira itu, David masih merasakan ada kekosongan dihatinya. "Kalaulah Loga masih ada, tentu dia juga akan seronok. Anugerah ini saya dedikasikan buat Loga. Saya benar-benar merinduinya", perlahan benar suara David ketika menyuarakan kehilangan paling besar dalam hidupnya itu.
Apakan tidak, Loga itu adalah merupakan adik kandung sejati kepada David, yang juga disifatkannya sebagai teman paling rapatnya. Walaupun usia penyanyi veteran itu (David) kini sudah mencecah ke 66 tahun, tetapi beliau masih lagi bertenaga dan sebahagian besar dari usianya itu dihabiskan dengan menyanyi sahaja.
Semoga David akan terus menabur baktinya di bidang seni suara ini sehingga ke akhir hayatnya. Akhir kata syabas buat Datuk David Arumugam,
Yusrina bagi tabik hormat (360 darjah) kepada beliau,
dan....
Makasseehh.. !! hihih
Alleycats (1978)
Terima Kasih (1978)
Penyanyi (1979)
Dapatkah (1980)
Alleycats 4 (1981)
Kuching (1981)
Alleycats 6 (1982)
Alleycats 7 (1983)
Drama Kehidupan (1984)
Kerana (1984)
Suara Kekasih (1985)
Sampaikan Salam (1986)
Alleycats 12 (1986)
Aku Kerinduan (1987)
Suatu Pengertian (1988)
Dilema Sekuntum Cinta (1989)
Tetap Merindu (1989)
C.I.N.T.A (1990)
Selagi Tangis Belum Berhenti (1991)
Untukmu (1992)
Alleycats 20 (1993)
Alleycats 21 (1996)
Alleycats 22 (1997)
Kucing Lorong (1998)
Alleycats 2001 (2001)
Interpretasi (2002)
Tangga Tangga Ke Pintu Bahagia (2004)
Rasa (2006)
Ulangtahun ke 40 - Kompilasi (2008)
(info cover : credit to akubudakpenang, mastercomp, mat4nira, shahmyra)
Band2 dulu, sebelum jadi artis rakaman dah terror main kelab ye. Cerita abang2 lobang aku pernah dengar ialah, Black Dog Bone lagi rock dari Sweet Charity sebelum dorang jadi artis rakaman dan firat album buat design kipas udang tu hahahaa
ReplyDeletebetul tu bro deaf, alleycats ni bukan setakat terror main dekat kelab malam jer, tapi selain dari itu, diorang jugak cukup aktif menyanyi di majlis kenduri kahwin pun juga..
Deletedan setiap kali mendapat upah bagi bayaran show mereka dekat kenduri kahwin berkenaan, maka inilah ucapan mereka... MAASEEEEEH..huhuhhuh
Susah dah nak jumpa band bukan melayu yang main lagu melayu zaman sekarang ni...
ReplyDeleteabsolutely yes berteromber.. sememangnya dah takde pun band yang ekau maksudkan itu..
Deleteband dari tanjung bungah penang...sama gak ngan sweet september...ejaan bungah tu mmg dah betul ya bkan aku salah taip..tmpt main aku masa budak2 ni...betul comment bert tu...sape2 ada tahu band kenny remmy martin dak...ku petik bintang2 tu
ReplyDeleteKRM tu kumpulan favorite saya jugak la badrol.. masih terngiang lagu-lagu diorang ni, seperti suratan atau kebetulan, joget si burung tiong & juga kupetik bintam-bintam.. tapi kemana diorang ni menghilang yer badrol ?
Deleteterima kasihhhh
ReplyDeleteshama shamaaa llaahh.. hihihh
Deleteramai yang mungkin belum tahu, anak perempuan mendiang Loga sekarang dah jadi penyanyi pop / rnb di UK sekarang.
ReplyDeleteterimakasih atas info berguna berkenaan dengan anak perempuan Loga tu bro.. semoga ianya dapat dijadikan rujukan untuk generasi yang akan datang.. thanx again pendekar mustar..
DeleteSuperbly done! Congrats yusrina!
ReplyDeletewokay bro.. moshi moshi hahahahaa
Delete